gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 November 2026 – Seramai 20 orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menyertai acara Half Marathon 21.1KM dan Larian 10KM anjuran Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang berlangsung pada 8 November 2026.

Penyertaan tersebut turut menyaksikan kejayaan membanggakan bagi JBP apabila Ahli Bomba Wanita No. 1263, Nur Syahirah binti Muhd Syazwan Teo, berjaya meraih Johan bagi Kategori Individu Wanita 21.1KM dengan catatan masa 2 jam 21 minit.

Kejayaan tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan mencerminkan komitmen, disiplin serta tahap kecergasan fizikal anggota JBP. Ia juga membuktikan bahawa penglibatan aktif dalam bidang sukan mampu membentuk daya tahan fizikal dan mental, di samping memupuk semangat kesukanan dalam kalangan warga Jabatan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Bomba Wanita No. 1263, Nur Syahirah binti Muhd Syazwan Teo atas kejayaan yang diraih serta penghargaan kepada kesemua anggota JBP yang telah mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Diharapkan pencapaian ini akan menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga JBP untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat, meningkatkan kecergasan fizikal serta bergiat aktif dalam aktiviti sukan, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan dan imej positif Jabatan.