Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Pemangku Pegawai Balai, Muhd Ermie Hasbullah bin Abdullah Mahari, bersama anggota Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Operasi B serta anggota Balai Bomba Kuala Belait.
Sepanjang lawatan tersebut, para peserta telah diberikan taklimat ringkas mengenai tugas dan tanggungjawab anggota bomba serta diperkenalkan kepada pelbagai peralatan kebombaan dan penyelamatan yang digunakan dalam operasi. Para murid turut berpeluang menyaksikan demonstrasi penggunaan hos kebakaran serta merasai pengalaman menaiki jentera bomba. Lawatan berkenaan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Lawatan seumpama ini merupakan salah satu inisiatif bagi memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan kanak-kanak mengenai perkhidmatan bomba dan penyelamat. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan keselamatan kebakaran serta langkah-langkah pencegahan sejak usia awal.