gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English
KUALA BELAIT, Selasa, 10 November 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) melalui Cawangan Operasi B telah menyampaikan Sijil Masyarakat Berjasa kepada Awang Pang Choi Syin sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas tindakan pantas beliau dalam membantu menangani kejadian kebakaran kereta yang berlaku pada 18 Oktober 2026 di Jalan Maulana, Kuala Belait.

Sijil penghargaan tersebut telah disampaikan oleh Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Amirul Hadi bin Haji Junaidi, selaku Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi B.

Penyampaian sijil berkenaan merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap keprihatinan, keberanian dan semangat tanggungjawab orang awam dalam membantu menangani situasi kecemasan. Penglibatan masyarakat dalam memberikan bantuan awal juga memainkan peranan penting dalam memupuk budaya keselamatan serta memperkukuh kerjasama antara pihak Jabatan dan masyarakat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat berharap penghargaan seumpama ini akan menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk terus mengamalkan sikap prihatin, bertanggungjawab dan peka terhadap keselamatan persekitaran, di samping menggalakkan kerjasama masyarakat dalam menangani sebarang insiden kecemasan.