INSIDEN GANGGUAN BINATANG LIAR (ULAR) DI KAMPONG LUBOK PULAU, TUTONG
Tutong, Sabtu, 03 Januari 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden gangguan binatang liar melibatkan seekor ular di kawasan salah sebuah rumah di Kampong Lubok Pulau, Tutong.
Seekor ular jenis Kapak dengan anggaran panjang satu (1) meter dan lilitan kira-kira sepuluh (10) sentimeter telah berjaya ditangkap oleh keanggotaan Balai Bomba Tutong yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Pegawai Balai Bulihan bersama lima (5) orang anggota. Reptilia berkenaan ditemui berada di halaman rumah dan operasi tangkapan telah dijalankan menggunakan peralatan khas iaitu snare catcher tanpa sebarang kecederaan atau kemalangan dilaporkan.
Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mengambil langkah-langkah pencegahan berikut:
✅ Memastikan pintu serta tingkap rumah atau bangunan sentiasa ditutup, terutamanya ketika meninggalkan rumah, bagi mengelakkan kemasukan binatang liar seperti anjing liar, ular, buaya dan monyet.
✅ Menjaga kebersihan dan keteraturan persekitaran rumah serta bangunan (housekeeping) bagi mengurangkan risiko kehadiran binatang liar.
✅ Tidak menghampiri, mengganggu atau cuba mengancam binatang berkenaan kerana tindakan tersebut boleh mengundang bahaya dan kejadian yang tidak diingini.
Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi talian kecemasan 995 sekiranya berdepan dengan situasi melibatkan binatang liar atau kecemasan lain.