gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

PEKERJA SYARIKAT TRUE LIGHT SDN BHD DIIKTIRAF SEBAGAI FIRE MARSHAL

KUALA BELAIT, Rabu, 28 Oktober 2026 – Seramai 26 orang pekerja Syarikat True Light Sdn Bhd telah mengikuti Kursus Fire Marshal selama tiga hari, bermula 26 hingga 28 Oktober 2026. Kursus berkenaan dikendalikan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Operasi ‘B’, Jabatan Bomba dan Penyelamat, bertempat di premis syarikat berkenaan dan Balai Bomba Kuala Belait. Sepanjang kursus, para peserta diberikan pendedahan secara teori dan praktikal merangkumi sebab dan punca kebakaran, tindakan semasa kecemasan, tatacara menyelamatkan diri sekiranya terperangkap di dalam bangunan serta penggunaan alat pemadam api dan selimut api dengan betul.

Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesiapsiagaan para peserta dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Fire Marshal, khususnya dalam membantu memastikan proses pengosongan bangunan dapat dilaksanakan dengan teratur, pantas dan selamat sekiranya berlaku kecemasan. Penganjuran kursus seumpama ini diharap dapat memupuk budaya keselamatan kebakaran di tempat kerja serta meningkatkan keupayaan pekerja dalam menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan.