PEMIMPIN AKAR UMBI MUKIM PENGKALAN BATU SERTAI PROGRAM LIFESAVER 995 BAGI MENINGKATKAN PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN ASAS DALAM MENGHADAPI SITUASI KECEMASAN
PENGKALAN BATU, Sabtu, 26 September 2026 – Cawangan Operasi ‘F’, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengendalikan Program LifeSaver 995 yang disertai seramai 46 orang pemimpin akar umbi dan penduduk daripada Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mukim Pengkalan Batu, bertempat di Dewan Kemasyarakatan Kampung Parit, Mukim Pengkalan Batu.
Program tersebut turut diselajurkan dengan Majlis Penyerahan Alat Kelengkapan Memadam Kebakaran dan poster-poster bagi Projek Pemimpin Akar Umbi seluruh negara.
Hadir bagi menyempurnakan majlis penyerahan berkenaan ialah Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Yang Mulia Awang Azmi bin Haji Hafneh.
Dalam majlis tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menyerahkan set alat kelengkapan memadam kebakaran kepada Penghulu Mukim Pengkalan Batu, Yang Mulia Haji Ar’fan bin Haji Mohd Yussof, yang terdiri daripada tiga (3) batang hos bersaiz 64mm dan 38mm, satu (1) nozzle serta satu (1) key and bar.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘F’, pegawai-pegawai, anggota – anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta ketua-ketua kampung yang dijemput, iaitu Ketua Kampung Junjongan, Ketua Kampung Limau Manis, Ketua Kampung Pengkalan Batu, Ketua Kampung Panchor Murai/Wasan, Pemangku Ketua Kampung Batong, Ketua Kampung Masin, dan Pemangku Ketua Kampung Bebuloh.
Sebelum majlis penyerahan tersebut, para peserta yang terdiri daripada pemimpin akar umbi dan penduduk kampung telah mengikuti taklimat mengenai aspek keselamatan kebakaran, diikuti dengan sesi demonstrasi tatacara penggunaan alat pemadam api serta pengendalian hos bomba.
Program Lifesaver 995 ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas penduduk kampung sebagai petindak awal dalam menghadapi kejadian kebakaran, khususnya dalam melaksanakan tindakan awal yang bersesuaian sementara menunggu ketibaan pasukan bomba dan juga kepada para suri rumah tangga.