gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

INSIDEN GANGGUAN BINATANG LIAR (ULAR) DI JLN PASIR BERAKAS

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 14 September 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden gangguan binatang liar melibatkan seekor ular yang didapati berada di luar rumah di Jln Pasir Berakas, Bandar Seri Begawan.

Seekor ular jenis sawa dengan anggaran panjang 3 meter dan lilitan kira-kira 30 sentimeter telah berjaya ditangkap oleh keanggotaan Balai Bomba Unit Operasi Wanita yang diketuai oleh ABKW 411 Sarina binti Asar, bersama empat (4) orang anggota.

Reptilia berkenaan ditemui berada di luar rumah dan operasi tangkapan telah dijalankan menggunakan peralatan khas, iaitu snare catcher. Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan dilaporkan.

Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mengambil langkah-langkah pencegahan berikut:

✅ Memastikan pintu serta tingkap rumah atau bangunan sentiasa ditutup, terutamanya ketika meninggalkan rumah, bagi mengelakkan kemasukan binatang liar seperti ular, anjing liar, buaya dan monyet.

✅ Menjaga kebersihan serta memastikan persekitaran rumah dan bangunan sentiasa kemas dan teratur (housekeeping) bagi mengurangkan risiko kehadiran binatang liar.

✅ Tidak menghampiri, mengganggu atau cuba menangkap binatang berkenaan kerana tindakan tersebut boleh mengundang bahaya dan kejadian yang tidak diingini.

Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi talian kecemasan 995 sekiranya berdepan dengan situasi melibatkan binatang liar atau kecemasan lain.