gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

KEBAKARAN RUMAH DI JALAN SEMAUN SERIA

SERIA, Selasa, 7 Julai 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah di Seria pada malam 6 Julai 2026.

Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengkerahkan seramai 10 orang anggota bomba dari Balai Bomba Seria diketuai oleh Timbalan Pegawai Balai, Mohd Zulkifli bin Mohd Tahir serta turut dibantu anggota dari Balai Bomba Kuala Belait dan Pasukan Bomba Shell.

Sampai dilokasi, didapati api besar telah membakar keseluruhan sebuah rumah yang diperbuat daripada kayu dan serta merebak sebahagian daripada rumah berdekatan akibat bahangan api.

Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran rumah tersebut dan pihak Bomba mengesahkan bahawa mangsa kanak-kanak perempuan yang berumur 9 tahun itu telah ditemukan oleh keanggotaan Jabatan Bomba dan Penyelamat di kawasan tingkat bawah rumah pada pagi hari ini.

Kebakaran tersebut telah melibatkan seorang warga emas berusia 72 tahun yang melecur dibahagian tangan segera dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan dengan menggunakan ambulan.

Operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan 5 jet hos serta bekalan air diperolehi daripada pili-pili bomba berhampiran. Api dapat dikawal dalam tempoh satu jam.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Turut hadir bagi meninjau lokasi kebakaran ialah Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Azmi bin Haji Hafneh; Pemangku Timbalan Pengarah Haji Nohi Irwan Surkarki bin Haji Pawi; serta Pemangku Penolong Pengarah, Awang Noor Aflan bin Awg Haji Kachi.