FIRE INVESTIGATION SPECIALIST COURSE (FISC), AKADEMI PERTAHANAN AWAM SINGAPURA (SCDA)
Bandar Seri Begawan, 05 Julai 2026, Ahad – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menghantar seramai tiga (3) orang pegawai dan anggota bagi mewakili Jabatan untuk mengikuti Fire Investigation Specialist Course (FISC) di Akademi Pertahanan Awam Singapura (Singapore Civil Defence Academy – SCDA), yang berlangsung mulai 05 hingga 18 Julai 2026.
Kursus ini bertujuan untuk memperkukuhkan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan pegawai dalam bidang penyiasatan kebakaran, antaranya:
• Memahami asas dan prinsip penyiasatan kebakaran.
• Mengenal pasti punca serta asal kejadian kebakaran.
• Mengaplikasikan teknik dan kaedah penyiasatan moden.
• Mengurus dan mengendalikan tapak kebakaran secara sistematik, profesional dan berintegriti.
• Memahami aspek perundangan serta etika dalam penyiasatan kebakaran.
• Meningkatkan keupayaan penyediaan laporan penyiasatan dan pemberian keterangan di -mahkamah.
• Memperkukuhkan kerjasama serta penyelarasan antara agensi berkaitan.
Penyertaan dalam kursus ini merupakan satu usaha berterusan Jabatan dalam memperkasakan kompetensi pegawai bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab di bawah Perintah Keselamatan Kebakaran, 2016 (Fire Safety Order 2016), di samping menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035 ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih selamat, berdaya tahan dan sejahtera.
Pegawai dan anggota yang mewakili Jabatan ialah:
• Timbalan Pegawai Balai Yusof bin Bujang
• Penolong Pegawai Balai Arifin bin Mohammad
• Ahli Bomba Kelas Satu No. 979 Hasrul Azmi bin Abdul Wahab
Jabatan Bomba dan Penyelamat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat menjalani kursus kepada para peserta. Semoga segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam mempertingkatkan mutu penyiasatan kebakaran serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.