gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

LATIHAN BENCANA KEBANGSAAN SIRI PERTAMA BAGI TAHUN 2026 (LBK 01/2026)

Bandar Seri Begawan, Selasa, 23 Jun 2026 – Majlis Pembukaan Rasmi LBK 01/2026 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan (MBK). Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dibacakan oleh Yang Mulia Ustaz Fariszal bin Ali, Penolong Kaunselor Penjara, Jabatan Penjara.

LBK 26 ini dianjurkan bersama oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. LBK 26 ini berperanan sebagai anjakan strategik ke arah sistem pengurusan bencana negara yang lebih selamat, dinamik, tersusun, dan berdaya tahan tinggi. Keberhasilan siri latihan ini akan dijadikan penandaarasan (benchmarking) yang kukuh bagi menyokong Aspirasi Murni Negara Brunei Darussalam dalam mempersiap negara dalam pengurusan bencana kebangsaan.

Yang Berhormat Dato Menteri telah menekankan peri mustahaknya meneliti evolusi ancaman bencana masa kini yang kian kompleks, merangkumi impak anomali perubahan iklim dan kepelbagaian risiko rentas sempadan di peringkat serantau yang memberi kesan langsung kepada negara. Beliau juga menyeru agar pendekatan Whole-of-Nation diangkat sebagai teras utama untuk memperkemas benteng kedaya tahanan kebangsaan. Langkah ini menuntut keupayaan agensi untuk beralih dari kaedah konvensional kepada model pengurusan bencana yang lebih holistik, berselaras, dan dipacu sepenuhnya oleh integrasi data serta unjuran risiko yang tepat dan berasaskan data. Selain daripada itu, Yang Berhormat Dato Menteri turut menekankan bahawa realiti baharu ini secara langsung menuntut negara untuk tidak lagi bertindak secara bersendirian, di mana pengurusan risiko bencana yang berasingan adalah tidak lagi relevan dalam menghadapi magnitud ancaman bencana yang semakin mencabar.