gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

BDCB, SHENA, ROYAL BRUNEI AIRLINES SDN BHD DAN PAVO POINT DIIKHTIRAF FIRE MARSHAL

BERAKAS, Khamis, 25 Jun 2026 – Seramai 40 orang pegawai dan kakitangan daripada Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), The Safety Health and Environment National Authority (SHENA), Royal Brunei Airlines Sdn Bhd (RBA) dan Pavo Point telah berjaya menamatkan kursus Fire Marshal yang dikendalikan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

Kursus intensif selama tiga (3) hari yang berlangsung dari 22 hingga 24 Jun 2026 bertempat di Bangunan Teknikal, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Berakas.

Tujuan kursus ini diadakan untuk memperkasa peranan pegawai dan kakitangan sebagai Fire Marshal di premis masing-masing melalui pendedahan teori dan latihan praktikal berkaitan pencegahan kebakaran, pengurusan kecemasan, penggunaan alat pemadam api, prosedur pengosongan bangunan, serta aspek keselamatan kebakaran secara menyeluruh.

Dengan pengiktirafan ini, para peserta kini merupakan barisan hadapan (first responder) yang berperanan melaksanakan tindakan awal sekiranya berlaku insiden kebakaran di tempat kerja. Inisiatif ini juga sejajar dengan usaha berterusan JBP dalam memupuk budaya keselamatan kebakaran dan meningkatkan kesiapsiagaan awam di pelbagai sektor.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap aspek keselamatan kebakaran dan segera menghubungi Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui talian kecemasan 995 sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan.