OPERASI MENCARI DAN MENYELAMAT ORANG SESAT DI TAMAN REKREASI TASEK LAMA
Bandar Seri Begawan, 5 Jun 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian orang sesat di kawasan hutan Taman Rekreasi Tasek Lama pada jam 7.02 malam.
Sejurus menerima panggilan tersebut, sebuah jentera dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan (BSB) bersama empat (4) orang anggota bomba yang diketuai oleh ABKS 886 Abu Firdauz bin Abu Kasim telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di tempat kejadian, anggota bomba segera bergerak dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan Wasai Labi-Labi.
Hasil tindakan pantas dan usaha berterusan pasukan penyelamat, empat (4) orang pendaki yang dilaporkan sesat berjaya ditemui pada jam 7.40 malam di kawasan Wasai Labi-Labi, dalam jarak kira-kira satu (1) kilometer dari kawasan tempat letak kereta.
Kesemua pendaki ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat mengingatkan orang ramai agar sentiasa memaklumkan destinasi kepada ahli keluarga atau rakan sebelum memasuki kawasan rekreasi atau hutan, serta memastikan laluan yang digunakan adalah selamat dan dikenali bagi mengelakkan kejadian sesat berlaku.