gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

67 ORANG PEGAWAI DAN ANGGOTA JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT DIKURNIAKAN PINGAT KERJA LAMA (PKL)

Bandar Seri Begawan, 30 Mei 2026 – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah melangsungkan Majlis Penyampaian Pengurniaan Pingat Kerja Lama (PKL) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 bagi Tahun 2025 pada hari ini bertempat di Dewan Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan.

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Yang Mulia Salminan bin Haji Burut,Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Yang Mulia Azmi bin Haji Hafneh, Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat Yang Mulia Haji Nohi Irwan Surkarki bin Haji Pawi dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Seramai 67 orang yang terdiri daripada pegawai, anggota dan kakitangan awam Jabatan Bomba dan Penyelamat telah disokong bagi dikurniakan Pingat Kerja Lama sebagai penghargaan atas perkhidmatan selama lebih daripada 20 tahun dan bagi mengenang jasa bakti menjalankan amanah dan tugasan sepanjang perkhidmatan.