KAKITANGAN JABATAN KERJA RAYA TEMBURONG DIIKTIRAFKAN SEBAGAI FIRE MARSHAL
Daerah Temburong, 21 Mei 2026, Khamis– Seramai 16 orang kakitangan dari Jabatan Kerja Raya Temburong telahpun mengikuti Kursus _Fire Marshal_ yang dijalankan selama tiga (03) hari bermula pada 18 hingga 20 Mei 2026 bertempat di Dewan Jabatan Kerja Raya yang dikendalikan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Operasi ‘G’.
Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan, memperkukuh koordinasi pelan kecemasan, dan memberikan penekanan terhadap aspek keselamatan kebakaran di tempat kerja. Sepanjang kursus dijalankan, para peserta didedahkan kepada tatacara menyelamatkan mangsa semasa kebakaran, di samping memahami peranan dan tanggungjawab sebagai _Fire Marshal_ dalam memastikan sistem keselamatan kebakaran di bangunan atau premis sentiasa dalam keadaan baik serta dipantau secara berterusan.