gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

KEBAKARAN DAPUR DI BATU BESURAT BERJAYA DIKAWAL AWAL OLEH PEKERJA

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 11 Mei 2026 – Tindakan pantas seorang pekerja berjaya mengawal kebakaran yang berlaku di bahagian dapur sebuah bangunan di kawasan Batu Besurat pada sebelah petang kelmarin sebelum ketibaan anggota bomba di lokasi kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut dan segera mengerahkan dua (2) buah jentera dari Balai Bomba Beribi dan Balai Bomba Berakas dengan kekuatan seramai 12 orang anggota yang diketuai oleh Penolong Pegawai Balai Mohammad Rafie bin Abd Latif serta Pemangku Pegawai Balai Jublee ke tempat kejadian.

Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati asap tebal memenuhi ruang dapur di tingkat satu bangunan berkenaan. Kebakaran bagaimanapun telah berjaya dipadamkan lebih awal oleh seorang pekerja premis, Susimo Juan Morares, warga Filipina, menggunakan dua (2) buah alat pemadam api jenis debu kering seberat 2 kilogram sebelum ketibaan pihak bomba.

Bagi memastikan keadaan benar-benar selamat, anggota bomba segera mengeluarkan satu (1) pasukan pemakai set alat pernafasan (BA Set) untuk menjalankan pemeriksaan lanjut serta kerja-kerja pengudaraan bagi mengeluarkan asap yang masih terkumpul di kawasan dapur. Bantuan tambahan daripada Balai Bomba Berakas turut melibatkan dua (2) pasukan pemakai set alat pernafasan bagi membantu operasi pengudaraan dengan membuka jendela dan memastikan tiada lagi punca nyalaan api.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Tiada kecederaan atau korban jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa memastikan peralatan elektrik dan dapur berada dalam keadaan selamat serta menyediakan alat pemadam api di premis sebagai langkah awal menghadapi sebarang kecemasan kebakaran.