KEBAKARAN HUTAN DI KAMPUNG KUPANG, TUTONG
TUTONG, Khamis, 26 Mac 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah memberikan respons segera terhadap kejadian kebakaran hutan yang berlaku di Kampung Kupang.
Seramai lima (5) orang anggota bomba yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Pegawai Balai, Awang Shamsul Lian bin Atod, bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Lamunin telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Kebakaran tersebut dikesan sekitar jam 1.33 petang semasa anggota menjalankan rondaan rutin di kawasan berkenaan.
Setibanya di tempat kejadian, didapati kebakaran telah melibatkan kawasan hutan yang dianggarkan seluas kira-kira lima (5) hektar. Tindakan pantas dan cekap anggota bomba berjaya mengawal serta menghalang api daripada terus merebak ke kawasan kediaman berhampiran, sekali gus mengelakkan kerosakan yang lebih besar.
Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini, dengan mengambil langkah-langkah berikut:
• Tidak melakukan pembakaran terbuka sesuka hati.
• Memastikan tahap keselamatan yang tinggi ketika memandu, terutamanya dengan memperlahankan kenderaan di kawasan yang diliputi asap tebal akibat kebakaran.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti maklumat terkini berkaitan keadaan cuaca melalui platform rasmi Instagram @brunei.weather (Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan cuaca dari masa ke semasa.
Turut hadir di lokasi kejadian ialah Pegawai Pemerintah Operasi ‘E’, Yang Mulia SSFR Haji Afiq bin Haji Julah, bagi memantau operasi pemadaman yang dijalankan.