KEBAKARAN KENDERAAN DI KAMPONG SENGKARAI, TUTONG
TUTONG, Rabu, 04 Mac 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran sebuah kenderaan yang berlaku pada waktu tengah hari di Kampong Sengkarai.
Sejurus menerima panggilan tersebut, dua (2) buah jentera bomba bersama sembilan (9) orang anggota dari Balai Bomba Tutong telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah kenderaan jenis sedan terbakar pada bahagian enjin. Anggota bomba segera menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan satu (1) jet hos dan berjaya mengawal serta memadamkan kebakaran dalam masa kira-kira tiga (3) minit.
Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. Tiada korban jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.