TAKLIMAT DAN MEJA INFO KERJAYA SERTA PAMERAN KENDERAAN / PERALATAN BOMBA BAGI ACARA MEGA FIESTA KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Februari 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menyertai Taklimat dan Meja Info Kerjaya serta Pameran Kenderaan dan Peralatan Bomba sempena acara Mega Fiesta Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang berlangsung selama dua (2) hari bermula 11 hingga 12 Februari 2026.
Program tersebut menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 300 orang terdiri daripada murid-murid, guru-guru, pegawai, kakitangan kolej serta orang awam.
Taklimat yang disampaikan bertujuan memberikan pendedahan awal mengenai hala tuju pendidikan serta peluang kerjaya khususnya selepas Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Tertinggi Kebangsaan (HND). Selain itu, pengunjung turut berpeluang melihat dengan lebih dekat kenderaan operasi serta peralatan kebombaan yang dipamerkan, sekali gus meningkatkan kefahaman mengenai peranan dan tanggungjawab anggota bomba dalam memastikan keselamatan orang ramai.