WARGA KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI (KHEDN) DAN JABATAN-JABATAN DIBAWAHNYA DIIKHTIRAF FIRE MARSHAL
BERAKAS, Khamis, 05 Februari 2026 – Seramai 30 orang pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan – Jabatan dibawahnya iaitu Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Daerah Belait serta Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (National Disaster Management Centre) telah berjaya menamatkan kursus Fire Marshal yang dikendalikan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).
Kursus intensif selama tiga (3) hari yang berlangsung dari 02 hingga 04 Februari 2026 bertempat di Bangunan Teknikal, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Berakas.
Tujuan kursus ini diadakan untuk memperkasa peranan pegawai dan kakitangan sebagai Fire Marshal di premis masing-masing melalui pendedahan teori dan latihan praktikal berkaitan pencegahan kebakaran, pengurusan kecemasan, penggunaan alat pemadam api, prosedur pengosongan bangunan, serta aspek keselamatan kebakaran secara menyeluruh.
Dengan pengiktirafan ini, para peserta kini merupakan barisan hadapan (first responder) yang berperanan melaksanakan tindakan awal sekiranya berlaku insiden kebakaran di tempat kerja. Inisiatif ini juga sejajar dengan usaha berterusan JBP dalam memupuk budaya keselamatan kebakaran dan meningkatkan kesiapsiagaan awam di pelbagai sektor.