gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

MAJLIS PENGHAYATAN HIKMAH PERISTIWA ISRA’ DAN MI’RAJ DAN MENGIMARAHKAN MALAM NISFU SYAABAN

Berakas, Isnin, 02 Februari 2026 – Bagi menyemarakkan syiar islam serta menghayati peristiwa agung dalam sejarah umat islam, satu Majlis Penghayatan Hikmah Peristiwa Isra’ dan Mi’raj serta Mengimarahkan Malam Nisfu Syaaban telah diadakan dengan penuh kesyukuran dan penghayatan rohani di Surau Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Berakas.

Majlis dimulakan dengan persembahan tausyeh daripada kumpulan pendikir Jabatan Bomba dan Penyelamat yang membawa mesej dakwah dan pujian kepada Allah SWT serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sekali gus menyuntik suasana harmoni dan keinsafan kepada para hadirin.

Seterusnya para jemaah bersama-sama menunaikan solat Fardhu Maghrib secara berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yassin sebanyak tiga kali, disusuli dengan Doa Malam Nisfu Syaaban sebagai tanda memohon keampunan, kesejahteraan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Majlis turut diserikan dengan sesi penghayatan mengenai peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang menekankan pengajaran dan hikmah di sebalik perjalanan agung Rasulullah SAW, khususnya kepentingan solat sebagai tiang agama serta pengukuhan iman dan ketaqwaan dalam kehidupan seharian yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Awang Shamsuri bin Haji Tuah, Ketua Guru Ugama.

Acara diteruskan dengan solat Fardhu Isyak berjemaah dan diakhiri dengan bacaan doa penutup, dengan memohon agar segala amalan diterima serta masyarakat sentiasa dipelihara dalam rahmat dan keberkatannya.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis Yang Mulia, Azmi bin Haji Hafneh, Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat. Juga turut hadir Pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, anggota dan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat.