KAKITANGAN FREME RAINFOREST LODGE TEMBURONG DIIKTIRAF SEBAGAI FIRE MARSHAL
TEMBURONG, Sabtu, 17 Januari 2026 – Seramai 13 orang kakitangan dari Freme Rainforest Lodge, Temburong telah berjaya mengikuti Kursus Fire Marshal yang dikendalikan selama tiga (3) hari bermula 12 hingga 14 Januari 2026 bertempat di Freme Rainforest Lodge anjuran Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Operasi ‘G’.
Kursus ini bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan, memperkukuhkan pelaksanaan pelan tindak balas kecemasan serta memberi penekanan terhadap aspek keselamatan kebakaran di tempat kerja.
Sepanjang kursus, para peserta didedahkan kepada prosedur menyelamatkan mangsa semasa kebakaran, penggunaan peralatan pemadaman api serta peranan dan tanggungjawab sebagai Fire Marshal bagi memastikan sistem keselamatan kebakaran di setiap bangunan atau premis sentiasa berada dalam keadaan baik dan dipantau secara berterusan.
Dengan penganjuran kursus ini, ia diharap dapat melahirkan pasukan Fire Marshal yang berpengetahuan, cekap dan berkeupayaan bertindak pantas dalam melindungi keselamatan warga kerja serta harta benda daripada sebarang risiko kebakaran.