gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English
BERAKAS, RABU, 25 NOVEMBER 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) buat julung kalinya telah menganjurkan Program Rintis Bakti Khidmat Negara (PKBN), Komponen Perkhidmatan Awam 2026, yang berlangsung selama 10 hari bermula 16 hingga 25 November 2026 dengan penyertaan seramai 27 orang peserta.

Program berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai peranan dan tanggungjawab JBP, khususnya dalam aspek keselamatan kebakaran, operasi menyelamat serta khidmat bakti kepada masyarakat.

Sepanjang program tersebut, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti dan latihan praktikal yang disusun merangkumi pengenalan kepada jabatan dan laluan kerjaya, Kursus Fire Marshal, latihan kawad hydrant, latihan kebakaran (Fire Drill), pengenalan kepada pengendalian bahan berbahaya (HAZMAT), latihan asas menyelamat menggunakan tali (Basic Rope Rescue), serta demonstrasi penyelamatan khas dan penyiasatan kebakaran.

Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Penghargaan telah berlangsung di Ibu Pejabat JBP hari ini. Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Yang Mulia Azmi bin Haji Hafneh, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada kesemua 27 orang peserta.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara, Yang Mulia Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Haji Mahmud; Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat, Yang Mulia Mohd Shahrin bin Haji Mohd Jawie; serta pegawai-pegawai kanan JBP dan PKBN.

Majlis berkenaan turut diisikan dengan pembentangan oleh wakil peserta yang berkongsi pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh sepanjang mengikuti program tersebut, di samping tayangan sorotan aktiviti yang telah dilaksanakan.

Penganjuran program ini diharap dapat memupuk disiplin, semangat kerjasama berpasukan, rasa tanggungjawab dan kesedaran sivik dalam kalangan peserta. Di samping itu, program ini juga diharap dapat meningkatkan kefahaman mereka mengenai kepentingan keselamatan kebakaran serta peranan anggota bomba dan penyelamat dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.