BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 November 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengadakan Majlis Pembukaan Program Pertahanan Awam bagi peserta Projek Rintis Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) yang melibatkan seramai 28 orang peserta. Majlis tersebut berlangsung di Ibu Pejabat JBP.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Mulia Penolong Pengarah Operasi, Haji Irwan Surkarki bin Haji Pawi dan Mejar (B) Haji Mohammad bin Dollah, Komandan Kem Latihan PKBN, serta pegawai-pegawai kanan, anggota dan kakitangan JBP.
Dalam ucapan alu-aluannya, Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Mohammad Zyakwan bin Awg. Idris, Ketua Bahagian Tenaga Manusia dan Perancangan Latihan, menyatakan bahawa JBP merupakan agensi beruniform pertama yang dipilih untuk mengendalikan program khas berkenaan. Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para belia mengenai skop tugas penyelamatan serta peranan JBP dalam aspek keselamatan negara.
Program yang berlangsung selama sembilan hari ini merangkumi pelbagai pengisian teori dan latihan praktikal yang melibatkan beberapa unit khas serta cawangan operasi JBP. Pengisian tersebut bertujuan memberikan peluang kepada para peserta untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian tugas dan tanggungjawab anggota bomba dan penyelamat.
Antara pengisian utama program adalah seperti berikut:
– Pengenalan Jabatan dan Laluan Kerjaya serta Kursus Fire Marshal: Dikendalikan oleh Bahagian Tenaga Manusia dan Perancangan Latihan, Pusat Gerakan serta Bahagian Komunikasi Korporat di Ibu Pejabat JBP.
– Latihan Kawad Hydrant: Diadakan di Balai Bomba Tumasek/Izzah.
– Latihan Fire Drill: Dilaksanakan di Kem Latihan PKBN.
– Pengenalan HAZMAT: Memberikan pendedahan mengenai pengendalian insiden yang melibatkan bahan berbahaya dan kimia di Balai Bomba SPARK.
– Latihan Asas Menyelamat Menggunakan Tali (Basic Rope Rescue): Memberikan pendedahan mengenai teknik asas penyelamatan menggunakan tali bersama Pasukan SATREA di Balai Bomba Rimba.
– Sesi Penyelamatan Khas dan Penyiasatan Kebakaran: Merangkumi demonstrasi oleh Unit Operasi Wanita dan Unit Penyelam di Balai Bomba Sungai Kebun