BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 November 2026 – Seramai 31 orang pegawai dan kakitangan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah mengikuti Kursus Fire Marshal selama tiga hari, bermula 3 hingga 5 November 2026. Kursus tersebut diadakan di Tingkat 4, WCC Hospital RIPAS dan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), serta dikendalikan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Operasi ‘A’, JBP.
Melalui kursus ini, para peserta diberikan pendedahan mengenai aspek pencegahan kebakaran, tindakan awal semasa kecemasan serta tugas dan tanggungjawab seorang Fire Marshal. Pendedahan ini bertujuan untuk memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi insiden kecemasan, meningkatkan koordinasi tindakan kecemasan serta memastikan aspek keselamatan kebakaran di bangunan dan premis sentiasa dipantau dan terpelihara, termasuk mengetahui tatacara pemindahan serta penyelamatan mangsa semasa berlaku kebakaran.

