MAJLIS PENYERAHAN CEK INSURANS TAKAFUL KELUARGA BERKELOMPOK ALLAHYARHAM ABKS 641 MOHAMAD FADZILAH BIN HAJI BUJANG
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 03 September 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini mengadakan Majlis Penyerahan Cek Insurans Takaful Keluarga Berkelompok Allahyarham Ahli Bomba Kelas Satu No. 641 Mohamad Fadzilah bin Haji Bujang, diselajurkan dengan bacaan Surah Yassin, tahlil dan sembahyang sunat hajat bertempat di Surau Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Landasan Lama Berakas.
Allahyarham ABKS 641 Mohamad Fadzilah bin Haji Bujang, yang bertugas di Balai Bomba Bukit Beruang, Cawangan Operasi ‘E’, telah kembali ke rahmatullah pada 02 Ogos 2026.
Majlis dimulakan dengan penyerahan Cek Insurans Takaful Keluarga Berkelompok (TBA) kepada penerima wasi, iaitu kakak kepada Allahyarham, sebagai salah satu bentuk kebajikan dan keprihatinan jabatan terhadap kebajikan keluarga warga perkhidmatan yang telah kembali ke rahmatullah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Yassin, tahlil dan sembahyang sunat hajat yang diadakan sebagai tanda penghormatan serta bagi sama-sama mendoakan agar segala amal kebajikan Allahyarham diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala, diampunkan segala kesalahan dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Hadir menyempurnakan majlis ialah Yang Mulia Shahrin bin Haji Mohd Jawie, Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, anggota serta kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Penganjuran majlis seumpama ini mencerminkan keperihatinan dan rasa tanggungjawab Jabatan Bomba dan Penyelamat terhadap kebajikan warga jabatan serta keluarga mereka. Ia juga menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kekeluargaan, ukhuwah serta kebersamaan dalam kalangan warga jabatan.
Semoga segala doa dan amal kebajikan yang dipanjatkan untuk Allahyarham mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala dan semoga keluarga Allahyarham diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.