MAJLIS PENYERAHAN DAN PENERIMAAN EMPAT (04) BUAH LIGHT FIRE ATTACK VEHICLE (LFAV)
BERAKAS, Sabtu, 10 Oktober 2026 – Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, telah menyaksikan Majlis Penyerahan dan Penerimaan Empat (04) Buah Light Fire Attack Vehicle (LFAV) daripada HOPE Technik Singapura kepada Brunei Engineering, Logistics and Training Solutions (BELTS), yang berlangsung di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Berakas.
Ketibaan Tuan Yang Terutama telah disambut oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Azmi bin Haji Hafneh, Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat. Dalam ucapan tersebut, beliau menyentuh mengenai hubungan kerjasama erat antara Jabatan Bomba dan Penyelamat, Negara Brunei Darussalam dan Singapore Civil Defence Force (SCDF) melalui Memorandum Persefahaman yang telah terjalin sejak tahun 2022.
Perolehan empat buah LFAV yang menggunakan teknologi dari Singapura ini merupakan salah satu usaha untuk mempertingkatkan keupayaan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, khususnya dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta meningkatkan keberkesanan tindak balas terhadap pelbagai situasi kecemasan.
Majlis diteruskan dengan tayangan video yang memaparkan kepakaran HOPE Technik dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, termasuk proses penghasilan empat buah LFAV serta kerjasama dan perkongsian pengalaman antara kedua-dua negara. Tayangan tersebut turut mengetengahkan penglibatan seramai 39 orang alumni pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat yang pernah mengikuti kursus di Singapura, sekali gus mencerminkan usaha berterusan dalam perkongsian ilmu dan pembangunan kapasiti anggota.
Kemuncak majlis ialah upacara penyerahan replika kunci (mock key) oleh pihak HOPE Technik dan BELTS kepada Yang Mulia Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat sebagai simbolik penyerahan dan penerimaan empat buah LFAV berkenaan.
Tuan Yang Terutama seterusnya berkesempatan meninjau dengan lebih dekat jentera LFAV yang dipamerkan serta diberikan taklimat ringkas mengenai keupayaan, fungsi dan peralatan yang dilengkapi pada jentera tersebut.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, khususnya dalam bidang keselamatan kebakaran, pemodenan aset serta peningkatan keupayaan operasi bagi memastikan perkhidmatan kecemasan yang lebih cekap dan berkesan kepada orang ramai.