gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

KEJADIAN LETUPAN DIPERCAYAI BERPUNCA DARI GAS BOCOR DI BANGUNAN AMBER HILLS

BATU BERSURAT, Khamis, 8 Oktober 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menerima panggilan kecemasan pada 8 Okt9ber 2026 jam 6.27 pagi berhubung terdapatnya letupan belaku di bangunan Amber Hills, Batu Bersurat.

Sebanyak empat buah jentera dari Balai Bomba Beribi, Berakas dan Bandar Seri Begawan dengan keramaian seramai 20 orang anggota telah dikerahkan ke tempat kejadian yang diketuai oleh DSO Tonny.

Setibanya di tempat kejadian, pihak Bomba telah menyiasat tentang letupan yang telah dilaporkan berlaku dan seterusnya mendapati ada api kecil berlaku di salah sebuah unit di bangunan berkenaan. Anggota bomba dengan segera menjalankan tindakan pemadaman menggunakan satu jet hos 64mm ke 38mm, serta menggunakan alat pengesan gas bagi memastikan keadaan di lokasi adalah selamat.

Api berjaya dikawal dari merebak dalam tempoh lebih kurang satu minit. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua (02) orang telah mengalami kecederaan ringan. Mangsa- mangsa berkenaan kemudiannya telah dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dengan menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Turut hadir ketempat kejadian adalah Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat yang menerima taklimat ringkas dari pegawai operasi kejadian, yang juga diiringi oleh pegawai- pegawai kanan dari Bahagian Operasi, Bahagian Teknikal, Unit penyiasatan Kebakaran dan Bahagian Komunikasi Korporat. Selain dari itu, agensi-agensi lain yang turut hadir adalah Pasukan Polis Diraja Brunei, EMAS, ABCi dan JKR.

Seterusnya kes ini diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya. Punca kejadian letupan dipercayai berpunca dari gas bocor dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

JBP ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa memastikan penggunaan peralatan gas dilakukan dengan selamat, memeriksa keadaan hos dan regulator secara berkala serta tidak mengabaikan sebarang tanda-tanda kebocoran gas.
Jika terhidu bau gas:
• Jangan menyalakan api atau menghidupkan suis elektrik.
• Tutup bekalan gas jika keadaan mengizinkan dan selamat untuk berbuat demikian.