gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

LATIHAN KEBAKARAN RUMAH DI KAMPONG SUNGAI SIAMAS (EXERCISE LAPU 2026)

Bandar Seri Begawan, Sabtu, 27 Jun 2026 – Cawangan Operasi ‘D’, Jabatan Bomba dan Penyelamat Brunei Darussalam telah mengendalikan Latihan Kebakaran Rumah di Kampong Sungai Siamas (Exercise LAPU 2026) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi insiden kebakaran di kawasan Kampong Ayer.

Latihan ini melibatkan seramai 15 orang anggota bomba daripada Balai Bomba Sungai Kebun dan Balai Bomba Pelancaran, yang diketuai oleh Pegawai Balai Haji Abd Rahman bin Maitamit. Turut mengambil bahagian ialah Sukarelawan Kampong Ayer yang telah mengikuti Kursus Lifesaver 995, bagi melaksanakan tindakan awal kecemasan sebelum ketibaan anggota bomba di lokasi kejadian.

Objektif utama latihan ini adalah untuk memperkukuhkan kecekapan, kemahiran dan koordinasi operasi anggota bomba, di samping menguji keberkesanan peranan sukarelawan sebagai first responder dalam memberikan tindak balas awal terhadap insiden kebakaran. Penglibatan sukarelawan ini diharap dapat membantu mengawal kebakaran pada peringkat awal, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan impak keseluruhan kejadian sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Pelaksanaan latihan seumpama ini mencerminkan komitmen Jabatan Bomba dan Penyelamat Brunei Darussalam dalam memperkukuhkan budaya kesiapsiagaan masyarakat melalui kerjasama erat antara jabatan, sukarelawan dan komuniti setempat, selaras dengan usaha meningkatkan tahap keselamatan serta daya tahan komuniti dalam menghadapi sebarang insiden kecemasan.

Latihan ini turut disaksikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Brunei Darussalam, Yang Mulia Awang Azmi bin Haji Hafneh serta pegawai-pegawai kanan, Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘D’ dan warga Jabatan Bomba dan Penyelamat.