PANGGILAN MENCARI MANGSA DIBAHAM BUAYA DI KAWASAN KAMPUNG BARU SUNGAI BERA
SERIA, Sabtu, 27 Jun 2026 – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dipercayai dibaham buaya di Kampung Baru Sungai Bera memasuki hari keempat dengan usaha pencarian masih giat dijalankan oleh agensi-agensi yang terlibat.
Operasi tertumpu kepada rondaan di perairan menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat, rondaan darat di sepanjang tebing sungai serta pemantauan udara menggunakan dron bagi memperluaskan kawasan pencarian. Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama erat daripada Pasukan Polis Diraja Brunei dan Bahagian Hidupan Liar.
Turut hadir meninjau operasi di lokasi kejadian ialah Pegawai Daerah Belait bersama Pemerintah Cawangan Operasi B bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai operasi serta memberikan sokongan kepada anggota yang terlibat dalam usaha pencarian.
Jabatan Bomba dan Penyelamat akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam meneruskan operasi pencarian dan akan menyalurkan sebarang perkembangan terkini dari semasa ke semasa.