gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

PASUKAN SPECIAL TECHNICAL RESCUE ASSISTANT (SATREA) DAN PASUKAN MENCARI DAN MENYELAMAT KHAS MALAYSIA (SMART) BEKERJASAMA MEMPERKUKUH KEUPAYAAN PASUKAN DAN MENYELAMAT (USAR) NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE ARAH INSARAG EXTERNAL CLASSIFICATION (IEC)

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei 2026, Selasa – Jabatan Bomba dan Penyelamat Negara Brunei Darussalam khususnya Pasukan SATREA sedang menjalani Program Pementoran 01/2026 dengan kerjasama Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sebagai usaha memperkukuh keupayaan Pasukan Mencari dan Menyelamat Kawasan Bandar (USAR) Negara Brunei Darussalam ke arah INSARAG External Classification (IEC).

Program ini bertujuan menilai tahap kompetensi serta memperkukuh persediaan Pasukan USAR Negara Brunei Darussalam sebelum melaksanaan program pementoran secara menyeluruh sebelum IEC dapat dilaksana.

Program selama lima (5) hari, bermula dari 11 hingga 16 Mei 2026, melibatkan penyertaan seramai 55 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi. Daripada jumlah tersebut, 40 orang adalah Pegawai dan Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat khususnya Pasukan SATREA, manakala selebihnya melibatkan pegawai daripada Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pembangunan.

Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pengetahuan mengenai komponen-komponen utama dalam operasi USAR melalui sesi teori dan praktikal, termasuk USAR Coordination/Incident Command Management System (ICMS), teknik Breaking, Cutting dan Shoring, Rope Rescue serta pengurusan logistik.

Selain itu, satu mesyuarat berasingan turut diadakan antara ahli IEC Project Management Team (PMT) Brunei Darussalam bersama pasukan SMART bagi membincangkan hala tuju dan keperluan strategik ke arah pensijilan IEC. Mewakili Jabatan ialah Penguasa Kanan Pg Azizul Rahman bin Pg Haji Yusop selaku Komander Pasukan SATREA.

Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan tindak balas bencana, selaras dengan piawaian antarabangsa iaitu INSARAG di samping mengukuhkan kerjasama serantau antara Brunei Darussalam dan Malaysia.