gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

INSIDEN TANAH SUSUR DI KAWASAN KAMPONG MATA-MATA

Bandar Seri Begawan, Rabu, 25 Februari 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tanah susur yang berlaku pada sebelah pagi di Kampong Mata-Mata. Seramai lima (5) orang anggota bomba dari Balai Bomba Beribi yang diketuai oleh Ahli Bomba Kanan 24 Mat Sani bin Jumat telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Setibanya di tempat panggilan, didapati kejadian tanah susur tersebut telah mengenai bahagian garaj sebuah rumah dan berpotensi membahayakan keselamatan penghuni. Anggota bomba segera mengambil tindakan dengan memasang dua (2) keping kanvas sebagai langkah awal keselamatan bagi mengawal keadaan dan mengelakkan sebarang risiko lanjut.

Seterusnya, kes tersebut telah diserahkan kepada Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan untuk tindakan dan pemantauan selanjutnya. Turut hadir di lokasi ialah Pegawai Balai, Haji Ali bin Haji Muhammad.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, khususnya ketika musim cuaca tidak menentu, dan segera menghubungi talian kecemasan 995 sekiranya berlaku sebarang insiden yang membahayakan keselamatan.