gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

KEMPEN KEBERSIHAN TANAH PERKUBURAN ISLAM SEMAMANG

TEMBURONG, Selasa, 26 Februari 2026 – Sempena menyambut kedatangan bulan suci Ramadan yang bakal menjelang, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengatur beberapa aktiviti keagamaan termasuk Kempen Kebersihan Tanah Perkuburan Islam yang dilaksanakan di keempat-empat daerah. Bagi Daerah Temburong, kempen berkenaan telah diadakan di Tanah Perkuburan Islam Semamang yang melibatkan seramai 35 orang anggota dari Cawangan Operasi ‘G’, Daerah Temburong. Aktiviti tersebut diketuai oleh Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat, Yang Mulia Syu’aib bin Kifli, selaku Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘G’.

Selain kerja-kerja pembersihan kawasan perkuburan, aktiviti turut diselajurkan dengan bacaan tahlil dan doa arwah sebagai tanda penghormatan kepada anggota-anggota yang telah kembali ke rahmatullah. Bacaan telah dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Awang Haji Shamsuri bin Haji Tuah, Guru Agama Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pelaksanaan aktiviti seumpama ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan persiapan rohani menjelang Ramadan, bahkan turut menyuburkan nilai-nilai murni seperti kasih sayang sesama insan, keprihatinan terhadap kebersihan persekitaran, pengukuhan spiritual serta mempereratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga jabatan dan masyarakat setempat.