KEBAKARAN KENDERAAN BERDEKATAN PUSING KELILING LEBUHRAYA HASSANAL BOLKIAH
Bandar Seri Begawan, Sabtu, 24 Oktober 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran sebuah kenderaan yang berlaku pada waktu pagi berdekatan pusing keliling Lebuhraya Hassanal Bolkiah.
Seramai sembilan (9) orang anggota bomba, diketuai oleh Ahli Bomba Kanan 455 Hadi Mulyani bin Hassan, bersama dua (2) buah jentera dari Balai Bomba Berakas telah dikerahkan ke tempat kejadian.
Setibanya di lokasi, didapati sebuah kenderaan jenis hatchback yang sedang dalam perjalanan telah mengalami kebakaran.
Anggota bomba segera menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan dua (2) unit alat pernafasan dan (1) hose reel.
Setelah api berjaya dipadamkan, anggota bomba menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang. Kawasan kejadian juga dipastikan berada dalam keadaan selamat, manakala sebuah alat pemadam api jenis serbuk kering (dry powder) disediakan sebagai langkah berjaga-jaga.
Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian tersebut. Punca kebakaran serta jumlah anggaran kerugian masih dalam siasatan.
JBP ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan diselenggara secara berkala, khususnya sistem pendawaian elektrik, bateri dan komponen enjin, bagi mengurangkan risiko berlakunya kebakaran kenderaan.