JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT SERTAI KURSUS VEHICLE FIRE INVESTIGATION DI AKADEMI BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA WILAYAH TENGAH
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Oktober 2026 – Seramai dua (02) orang pegawai dan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, telah menyertai Kursus Vehicle Fire Investigation yang dianjurkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, pada 19 hingga 23 Oktober 2026.
Mewakili JBP dalam kursus berkenaan ialah Timbalan Pegawai Balai Yusof bin Bujang Mohammad dan Ahli Bomba Kanan No. 279 Soetrisno bin Sahminan.
Kursus Vehicle Fire Investigation merupakan latihan intensif yang memberikan penekanan kepada kaedah mengenal pasti lokasi asal kebakaran (origin) serta menentukan punca kebakaran kenderaan (cause) melalui pendekatan penyiasatan yang sistematik dan berasaskan prinsip saintifik.
Penyertaan pegawai dan anggota JBP dalam kursus ini diharap akan dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran teknikal serta kecekapan dalam menjalankan penyiasatan kebakaran kenderaan. Di samping itu, latihan ini juga diharap dapat memperkukuh keupayaan JBP dalam mengenal pasti punca kebakaran secara lebih tepat, sekali gus menyokong usaha berterusan jabatan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan profesionalisme dalam bidang penyiasatan kebakaran.