gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

ANGGOTA BOMBA DAN PENYELAMAT TERLIBAT SEBAGAI HAKIM KEJOHANAN SENAMAN SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH 2026

Bandar Seri Begawan, Khamis, 10 September 2026 – Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Jasmani dan Rekreasi, dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri melalui Divisyen Pendidikan Pencegahan Dadah, telah mengadakan Sesi Penghakiman Peringkat Akhir Kejohanan Senaman Sekolah-Sekolah Rendah Negara Brunei Darussalam Tahun 2026.

Sesi tersebut berlangsung di Bangunan Divisyen Pendidikan Pencegahan Dadah (PDE), Biro Kawalan Narkotik, Kampong Kiarong.

Dalam sesi berkenaan, dua orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat telah terlibat sebagai hakim, iaitu Yang Mulia ABKS 977 Petrus bin Jumat dan Yang Mulia ABKS 1013 Mohd Saffuan bin Madzlan, selaku Physical Training Instructors (PTI), Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Penglibatan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai hakim adalah selaras dengan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kecergasan fizikal, di samping menyokong usaha bersama dalam menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan pelajar.

Sesi penghakiman turut dihadiri oleh Yang Mulia Penolong Pengarah Divisyen Pendidikan Pencegahan Dadah, Hajah Pengiran Masnah binti Pengiran Haji Damit, serta Yang Mulia Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Matjinen, Ketua Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum.