gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

INSIDEN GANGGUAN BINATANG LIAR (ULAR) DI KAMPONG SUNGAI TILONG

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 06 September 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden gangguan binatang liar melibatkan seekor ular yang didapati berada di dalam sangkar kucing di Kampong Sungai Tilong, Bandar Seri Begawan.

Seekor ular jenis sawa dengan anggaran panjang 2.5 meter dan lilitan kira-kira 54 sentimeter telah berjaya ditangkap oleh keanggotaan Balai Bomba Lambak Kanan yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Pegawai Balai, Hussaini bin Haji Hussin, bersama tiga (3) orang anggota.

Reptilia berkenaan ditemui berada di dalam sangkar kucing dan operasi tangkapan telah dijalankan menggunakan peralatan khas, iaitu dua (2) snare catcher. Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan dilaporkan.

Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mengambil langkah-langkah pencegahan berikut:

✅ Memastikan pintu serta tingkap rumah atau bangunan sentiasa ditutup, terutamanya ketika meninggalkan rumah, bagi mengelakkan kemasukan binatang liar seperti ular, anjing liar, buaya dan monyet.

✅ Menjaga kebersihan serta memastikan persekitaran rumah dan bangunan sentiasa kemas dan teratur (housekeeping) bagi mengurangkan risiko kehadiran binatang liar.

✅ Tidak menghampiri, mengganggu atau cuba menangkap binatang berkenaan kerana tindakan tersebut boleh mengundang bahaya dan kejadian yang tidak diingini.

Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi talian kecemasan 995 sekiranya berdepan dengan situasi melibatkan binatang liar atau kecemasan lain.