RIMBA POINT SENDIRIAN BERHAD TINGKAT KESEDIAAN KESELAMATAN MELALUI LATIHAN KEBAKARAN DAN PENGOSONGAN BANGUNAN
Bandar Seri Begawan, Rabu, 09 September 2026 – Rimba Point Sendirian Berhad telah mengadakan Latihan Kebakaran dan Pengosongan Bangunan yang dikendalikan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Operasi ‘C’, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), dengan penyertaan seramai 241 orang pekerja dan orang awam.
Latihan berkenaan dikendalikan bersama anggota Balai Bomba Rimba, diketuai oleh Penolong Pegawai Balai Adnan bin Hj Hitam bersama Penolong Pegawai Balai Hj Mohd Syukry bin Hj Miris @ Hj Ahmad.
Latihan ini bertujuan untuk memperkasa kesedaran, kesiapsiagaan dan tanggungjawab warga premis terhadap keselamatan kebakaran, di samping memberi pendedahan mengenai tatacara pengosongan bangunan yang betul, teratur dan selamat sekiranya berlaku kecemasan.
Melalui latihan ini, warga premis didedahkan kepada tindakan yang wajar diambil ketika menghadapi situasi kecemasan, di samping memupuk sikap sentiasa peka, tenang dan bersedia bertindak dengan pantas serta tepat bagi melindungi nyawa dan keselamatan diri serta orang di sekeliling.
JBP turut menyediakan pelbagai program keselamatan kebakaran kepada orang ramai dan organisasi, antaranya Kursus Life Saver 995, Kursus Fire Marshal dan Taklimat Keselamatan Kebakaran. Program-program ini merupakan antara usaha berterusan JBP dalam memperkukuhkan budaya keselamatan, tahap kesiapsiagaan dan keupayaan masyarakat dalam menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan.
Orang ramai adalah diingatkan agar, sekiranya berlaku sebarang kecemasan, segera menghubungi Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 serta memberikan maklumat yang tepat, jelas dan lengkap bagi membolehkan tindakan kecemasan dilaksanakan dengan segera dan berkesan.
Turut hadir menyaksikan latihan tersebut ialah:
– Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘C’, Penguasa Bomba Ajahrin bin Mail;
– Station Komander Balai Bomba Rimba, Pegawai Balai Haji Mohamad Nor bin Haji Ahad; dan
– Penolong Pegawai Balai Hj Bolhassan bin OKMD Hj Ghafar.