gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

PIALA KEPUTERAAN TERBUKA SEPAK TAKRAW 2026 BANDAR SERI BEGAWAN

Ahad, 30 Ogos 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menyertai Piala Keputeraan Terbuka Sepak Takraw 2026, anjuran Pesta Baru NBD, yang berlangsung pada 28 dan 30 Ogos 2026 bertempat di Kompleks Sukan, Sungai Kebun.

Kejohanan berkenaan telah disertai oleh sebanyak 24 pasukan, termasuk tiga pasukan yang mewakili JBP, iaitu Pasukan Bomba ‘A’, Pasukan Bomba ‘B’ dan Pasukan Bomba ‘C’. Dalam kejohanan tersebut, Pasukan Bomba ‘A’ berjaya meraih tempat ketiga bersama MS ABDB, manakala Pasukan Bomba ‘B’ melakar kejayaan muncul sebagai juara selepas menewaskan Pasukan Muara Spurs ‘B’ pada perlawanan akhir. Hadir bagi menyaksikan serta memberikan sokongan kemenangan ialah Yang Mulia Awang Azmi bin Haji Hafneh, pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Penolong pengarah Operasi, Pegawai serta anggota JBP.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung sengit, Pasukan Bomba ‘B’ berjaya menundukkan Pasukan Muara Spurs ‘B’ dengan keputusan 17–16 dan 15–12, sekali gus mencatatkan kemenangan 2–0.

Penyertaan dalam kejohanan ini merupakan penyertaan pertama JBP dalam Piala Keputeraan Terbuka Sepak Takraw pada tahun ini dan menjadi platform bagi warga jabatan untuk mengembangkan bakat serta meningkatkan penglibatan dalam aktiviti sukan.

Selain memupuk gaya hidup sihat, penyertaan tiga pasukan JBP ini turut menjadi wadah dalam memperkukuh semangat berpasukan, disiplin, kerjasama dan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan anggota JBP. Kejayaan Pasukan Bomba ‘B’ muncul sebagai juara serta pencapaian Pasukan Bomba ‘A’ di tempat ketiga membuktikan komitmen dan semangat juang warga JBP dalam bidang sukan, di samping mencerminkan nilai kerja berpasukan yang sentiasa menjadi kekuatan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pasukan Bomba ‘A’, ‘B’ dan ‘C’ atas penyertaan, komitmen dan semangat kesukanan yang telah ditunjukkan sepanjang kejohanan.

Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih cemerlang serta terus menyemarakkan budaya sukan dalam kalangan warga JBP.