LAWATAN RASMI SETIAUSAHA TETAP PENGURUSAN STRATEGIK, DASAR DAN KORPORAT, KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI KE JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT
Bandar Seri Begawan, Khamis, 27 Ogos 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menerima kunjungan rasmi dari Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Matassan, Setiausaha Tetap Pengurusan Strategik, Dasar dan Korporat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Landasan Lama Berakas.
Ketibaan Yang Mulia Setiausaha Tetap telah disambut oleh Yang Mulia Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Azmi bin Haji Hafneh, berserta pegawai-pegawai kanan JBP.
Semasa lawatan tersebut, Yang Mulia Setiausaha Tetap berkesempatan menghadiri sesi taklimat dan penerangan mengenai struktur organisasi serta peranan dan fungsi Jabatan Bomba dan Penyelamat yang disampaikan oleh Yang Mulia Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, bertempat di Bilik As-Siddiq.
Lawatan kemudiannya diteruskan dengan kunjungan ke Pusat Gerakan 995, diikuti dengan lawatan ke Bahagian Pentadbiran dan Kewangan. Kunjungan tersebut memberikan peluang kepada Yang Mulia Setiausaha Tetap untuk melihat dengan lebih dekat operasi, peranan dan fungsi bahagian-bahagian berkenaan dalam menyokong kelancaran serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan JBP.
Yang Mulia Setiausaha Tetap turut menandatangani Lembaran Kenangan sebagai tanda kenangan atas kunjungan rasmi tersebut. Lawatan rasmi berkenaan kemudiannya diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama pihak pengurusan dan pegawai-pegawai JBP.
Kunjungan ini mencerminkan hubungan kerjasama yang erat dan berterusan antara Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, khususnya dalam memperkukuhkan aspek pengurusan, pentadbiran serta operasi Jabatan demi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan.