gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

UPACARA PERHIMPUNAN DAN PERARAKAN SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM PERINGKAT NEGARA TAHUN 1448H

Bandar Seri Begawan, Selasa, 25 Ogos 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah turut serta dalam Upacara Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah, yang diadakan pada 12 Rabiulawal 1448 Hijrah bersamaan 25 Ogos 2026.

Perarakan berkenaan disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan serta orang ramai dari seluruh negara sebagai tanda kecintaan, penghormatan dan kasih sayang terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kontinjen JBP diketuai oleh Yang Mulia Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Azmi bin Haji Hafneh, serta disertai oleh Pemangku Timbalan Pengarah, Penolong-Penolong Pengarah Operasi, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota JBP.

Seramai 100 orang pegawai dan anggota JBP telah menyertai perarakan tersebut bagi sama-sama memeriahkan sambutan yang penuh keberkatan serta memperlihatkan semangat kebersamaan dan kekitaan warga JBP dalam menyertai acara keagamaan peringkat negara.

Penyertaan JBP dalam sambutan ini mencerminkan komitmen jabatan dalam menyokong dan memeriahkan acara-acara keagamaan serta kenegaraan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan anggota serta masyarakat.

Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ini diharapkan akan terus menyemarakkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, serta menjadi wadah dalam memperkukuhkan ukhuwah Islamiah, semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.