gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

JABATAN HAL EHWAL SYARIAH DAN BAHAGIAN PENDAKWAAN SYAR’IE, KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA MENYERTAI KURSUS LIFESAVER 995

Bandar Seri Begawan, Khamis, 27 Ogos 2026 – Seramai 19 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Bahagian Pendakwaan Syar’ie, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menyertai Kursus LifeSaver 995 yang diadakan di Bilik Taklimat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jalan Landasan Lama, Berakas.

Kursus tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran para peserta mengenai aspek-aspek keselamatan kebakaran, di samping memberikan pendedahan mengenai tindakan awal yang perlu diambil ketika menghadapi situasi kecemasan, khususnya kejadian kebakaran.

Para peserta juga diberi tunjuk ajar secara praktikal mengenai cara penggunaan alat pemadam api dengan betul dan selamat.

Melalui penganjuran program seumpama ini, JBP berharap agar pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta keprihatinan orang ramai terhadap keselamatan kebakaran, sekali gus membantu mengurangkan risiko kejadian kebakaran serta mencegah kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Program LifeSaver 995 ini juga merupakan salah satu usaha berterusan JBP dalam memperkasa masyarakat dengan pengetahuan keselamatan kebakaran serta tindakan kecemasan yang bersesuaian, selaras dengan hasrat untuk mewujudkan masyarakat yang lebih berpengetahuan, berwaspada dan bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan.