KEBAKARAN KENDERAAN DI KAWASAN STKRJ KAMPUNG RATAIE
TEMBURONG, Jumaat, 24 Julai 2026 ā Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden kebakaran kenderaan yang berlaku pada waktu pagi di kawasan STKRJ Kampung Rataie, Temburong.
Seramai enam (6) orang anggota bomba, diketuai oleh Ahli Bomba Kelas I Md Salleh bin OKM Haji Jair, bersama dua (2) buah jentera dari Balai Bomba Rataie telah dikerahkan ke tempat kejadian.
Setibanya di lokasi, didapati dua (2) buah kenderaan jenis SUV dan sedan yang diletakkan (parking) telah mengalami kebakaran. Sebelum ketibaan pihak bomba, kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh jiran yang berada di kawasan berkenaan.
Anggota bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan dan memastikan keadaan di kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat serta bersiap sedia dengan sebuah alat pemadam api jenis debu kering (dry powder) sebagai langkah berjaga-jaga.
Tiada kecederaan atau korban jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut. Punca kebakaran dan jumlah anggaran kerugian masih dalam siasatan.
JBP ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa memastikan keadaan kenderaan dalam keadaan baik, khususnya sistem pendawaian elektrik, bateri dan komponen enjin, bagi mengurangkan risiko berlakunya kebakaran kenderaan.