Sijil Perakuan Bomba (Fire Certificate)
Sijil Perakuan Bomba (Fire Certificate) merupakan satu pengesahan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membuktikan bahawa sesebuah bangunan, premis atau kemudahan telah mematuhi sepenuhnya keperluan keselamatan, perlindungan dan pencegahan kebakaran sebagaimana yang ditetapkan di dalam Garis Panduan Brunei Guideline Requirement (BGR) serta Akta Keselamatan Kebakaran Penggal 243.
Sijil ini bertujuan memastikan tahap keselamatan kebakaran yang mencukupi sebelum sesuatu bangunan atau premis diduduki, digunakan atau beroperasi, bagi melindungi nyawa, harta benda serta kepentingan awam.
Premis yang Dikehendaki Memohon Fire Certificate
Permohonan Sijil Perakuan Bomba adalah diwajibkan ke atas premis-premis berikut, tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Keselamatan Kebakaran Penggal 243.
Bangunan-bangunan komersial dan perniagaan.
- Premis industri dan kilang.
- Bangunan awam dan bangunan kerajaan.
- Institusi pendidikan, hospital dan pusat penjagaan.
- Premis penginapan seperti hotel, asrama dan rumah tumpangan.
- Mana-mana bangunan atau premis lain yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Tujuan Pengeluaran Fire Certificate
Pengeluaran Fire Certificate bertujuan untuk:
- Mengesahkan pematuhan sistem keselamatan kebakaran di sesebuah premis.
- Memastikan sistem perlindungan kebakaran dipasang, diuji dan berfungsi dengan baik.
- Mengurangkan risiko kebakaran dan kemalangan berkaitan kebakaran.
- Menjadi syarat perundangan bagi pengoperasian premis tertentu.
Tatacara Permohonan Sijil Perakuan Bomba
Tatacara permohonan Fire Certificate hendaklah dilaksanakan melalui langkah-langkah berikut:
Pengemukaan Permohonan
Pemilik bangunan, pemegang lesen atau wakil yang diberi kuasa hendaklah mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan menyertakan dokumen-dokumen berikut:
- Borang permohonan Sijil Perakuan Bomba yang lengkap diisi (klik untuk muatturun borang).
- Salinan pelan bangunan yang telah diluluskan.
- Laporan pemasangan sistem keselamatan kebakaran (jika berkenaan).
- Sijil ujian dan pentauliahan (testing & commissioning) sistem kebakaran.
- Salinan lesen perniagaan atau kelulusan agensi berkaitan (jika berkenaan).
- Dokumen sokongan lain yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Pemeriksaan Keselamatan Kebakaran
Setelah permohonan diterima, Bahagian Keselamatan Kebakaran akan menjalankan pemeriksaan tapak bagi menilai tahap pematuhan premis terhadap keperluan keselamatan kebakaran, termasuk tetapi tidak terhad kepada:
- Sistem penggera kebakaran.
- Sistem pemadaman kebakaran (sprinkler, hose reel, alat pemadam api).
- Laluan keluar kecemasan dan pencahayaan kecemasan.
- Tanda keselamatan dan pelan laluan keluar.
- Akses kenderaan bomba dan kemudahan sokongan.
Tindakan Pembetulan (Jika Berkenaan)
Sekiranya terdapat ketidakpatuhan semasa pemeriksaan, pihak pemohon akan dimaklumkan secara bertulis untuk melaksanakan pembetulan dalam tempoh yang ditetapkan. Pemeriksaan semula akan dijalankan setelah pembetulan disahkan.
Kelulusan dan Pengeluaran Fire Certificate
Apabila premis disahkan mematuhi sepenuhnya semua keperluan keselamatan kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat akan meluluskan permohonan dan mengeluarkan Sijil Perakuan Bomba (Fire Certificate).
Tempoh Sah Laku dan Pembaharuan
Sijil Perakuan Bomba adalah sah untuk tempoh yang ditetapkan selama Satu Tahun (01) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan hendaklah diperbaharui Tiga Bulan (03) sebelum tamat tempoh sah laku. Premis hendaklah sentiasa memastikan sistem keselamatan kebakaran berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh sah laku sijil tersebut.