gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

PEGAWAI DAN KAKITANGAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN TAMAT KURSUS FIRE MARSHAL

Bandar Seri Begawan, Isnin, 17 Ogos 2026 – Seramai 13 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan telah menyertai Kursus Fire Marshal selama tiga hari, bermula 17 hingga 19 Ogos 2026, bertempat di Balai Bomba Rimba. Kursus dikendalikan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Operasi ‘C’, Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kursus ini memberikan pengetahuan dan kemahiran berkaitan pencegahan kebakaran, tindakan awal ketika kecemasan, penggunaan peralatan pemadaman, penyelamatan mangsa serta peranan dan tanggungjawab Fire Marshal di bangunan masing-masing.

Penekanan turut diberikan kepada aspek kesiapsiagaan, komunikasi dan koordinasi bagi memastikan maklumat kecemasan dapat disampaikan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan cepat, tepat dan jelas.

Sebagai barisan hadapan di tempat kerja, Fire Marshal berperanan dalam memastikan keselamatan kebakaran, mengenal pasti risiko serta mengambil tindakan awal ketika kecemasan.

Melalui kursus ini, para peserta diharap dapat mempraktikkan ilmu yang diperolehi bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan di tempat kerja.

Turut hadir memberikan taklimat ialah Pemangku Pemerintah Cawangan Operasi ‘C’, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Ajahrin bin Mail.