gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

PENDIKIR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MENGUNJUNGI BALAI KHAZANAH ISLAM SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH (BKISHHB).

Bandar Seri Begawan, 31 Ogos 2026 – Seramai 15 orang rombongan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) yang terdiri daripada pegawai, anggota dan kakitangan telah mengadakan kunjungan ke Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), pada 17 Rabiulawal 1448 bersamaan 31 Ogos 2026.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Penolong Pengarah Operasi, Yang Mulia Haji Nohi Irwan Sukarki dan turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan serta anggota JBP.

Dalam kunjungan berkenaan, rombongan JBP turut mengadakan majlis berselawat beramai-ramai sebagai salah satu usaha untuk menyemarakkan lagi bulan Rabiulawal. Majlis tersebut dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Haji Samshuri dengan bacaan Selawat Tafrijiah, Selawat Ibrahimiyah, Selawat Busyro, Selawat Badriyah, Dikir Asrakal serta Doa Allah Peliharakan Sultan.

Kegiatan ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan kelahiran Baginda Rasulullah SAW, di samping memupuk rasa kasih, kecintaan dan penghormatan yang lebih mendalam terhadap junjungan besar kita.

Kunjungan ini juga mencerminkan komitmen berterusan JBP dalam menghayati dan menyemarakkan amalan keagamaan, khususnya dalam memperingati bulan Rabiulawal dengan penuh rasa syukur, kecintaan dan penghormatan kepada Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.