gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

KEMALANGAN JALAN RAYA MELIBATKAN KEBAKARAN DI JALAN RASAU, KUALA BELAIT

KUALA BELAIT, Rabu, 26 Ogos 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kemalangan jalan raya yang melibatkan kebakaran di Jalan Rasau, Kuala Belait pada pagi ini.

Seramai tujuh (7) orang anggota bersama dua (2) buah jentera dari Balai Bomba Kuala Belait yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Pegawai Balai Mohd Azize bin Othman telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Apabila sampai di tempat kejadian, didapati kemalangan tersebut melibatkan dua (2) buah kenderaan di atas jalan raya, di mana salah sebuah daripadanya telah terbakar keseluruhannya. Kejadian tersebut turut mengorbankan seorang pemandu yang ditemui rentung di dalam kenderaan berkenaan.

Ahli bomba segera bertindak memadam menggunakan satu (1) jet hos 64mm ke 38mm, sumber air daripada tangki WRL12/ jentera bomba. Api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh lima (5) minit. Anggota-anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dalam masa 10 minit dengan menggunakan alat perkakas khas.

Punca kebakaran serta anggaran jumlah kerugian bagi insiden berkenaan masih lagi dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.