OPERASI MENCARI DAN MENYELAMAT (SAR) ORANG LEMAS DI SUNGAI MUMONG, KUALA BELAIT
KUALA BELAIT, Khamis, 30 Julai 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima panggilan kecemasan insiden orang lemas pada sebelah pagi ini berlokasi di kawasan Sungai Mumong, Kuala Belait.
Seramai empat (4) orang anggota bomba daripada Balai Bomba Kuala Belait bersama sebuah jentera, yang diketuai oleh Ahli Bomba Kanan 390 Sainin bin Salim, telah dikerahkan ke tempat kejadian sejurus menerima laporan berkenaan.
Setiba di tempat panggilan, hasil maklumat awal di lokasi mendapati seorang mangsa lelaki telah terjatuh dari atas perahu ke sungai semasa menjalankan aktiviti latihan. Anggota bomba segera bertindak menjalankan operasi pencarian awal di sekitar lokasi. Operasi tersebut kemudiannya diteruskan dan dipertingkatkan secara intensif dengan bantuan daripada Unit Penyelam dan Unit Drone di sekitar kawasan perairan berkenaan.
Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk atau keberadaan mangsa ditemui. Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi hari ini ditangguhkan sementara pada jam 6.00 petang atas faktor keselamatan dan penglihatan yang terhad, dan akan disambung semula pada awal pagi esok.
Turut hadir meninjau di lokasi kejadian adalah Awg Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, Pemangku Daerah Belait, Penguasa Polis (Supt.) Pengiran Abu Naba’a bin Pengiran Haji Yusof, Pegawai Pemerintah Polis Daerah Belait, Awg Haji Abdul Afiq bin Zainuddin, Penghulu Mukim Belait, Awg Abdul Rahman Amin bin Jalaini, Ketua Kg Mumong C dan pegawai daripada Maritime and Port Authority of Brunei Darussalam (MPABD).