JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT CAWANGAN OPERASI ‘C’ SERTAI PAMERAN PROGRAM OUTREACH KESELAMATAN JALAN RAYA SEMPENA ROAD SAFETY ACTION 2030
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 Julai 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Cawangan Operasi ‘C’, telah menyertai Pameran Program Outreach Keselamatan Jalan Raya sempena Road Safety Action 2030 yang berlangsung di Multi-Purpose Hall, Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Penyertaan JBP melalui Balai Bomba Rimba dan Bahagian Penyiasatan Kebakaran adalah bagi menyokong usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan jalan raya serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah kemalangan dan kebakaran.
Sepanjang pameran tersebut, Balai Bomba Rimba telah mempamerkan pelbagai perkakas dan peralatan penyelamat yang lazimnya digunakan oleh anggota bomba semasa menghadiri panggilan kecemasan, khususnya insiden kemalangan jalan raya (Road Traffic Accident – RTA). Sementara itu, Bahagian Penyiasatan Kebakaran turut mempamerkan pelbagai peralatan penyiasatan kebakaran yang digunakan dalam menjalankan tugas-tugas penyiasatan selepas berlakunya sesuatu insiden kebakaran.
Pameran berkenaan turut menjadi platform bagi JBP untuk memberikan penerangan dan berkongsi pengetahuan bersama orang ramai mengenai aspek keselamatan, termasuk kepentingan mengamalkan pemanduan berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas serta sentiasa berwaspada ketika berada di jalan raya.
Di samping itu, orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah keselamatan di rumah bagi mengurangkan risiko berlakunya kebakaran, serta mengetahui tindakan awal yang sewajarnya diambil ketika berhadapan dengan sebarang situasi kecemasan.
Melalui penyertaan dalam program seumpama ini, JBP berharap agar kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap aspek keselamatan jalan raya dan keselamatan kebakaran akan terus dipertingkatkan, seterusnya membantu mengurangkan risiko kemalangan, kecederaan, kehilangan nyawa serta kerugian harta benda.
Turut hadir dalam pameran tersebut ialah Pemangku Penolong Penguasa Haji Mohamad Nor bin Haji Ahad, Stesen Komander Balai Bomba Rimba, Cawangan Operasi ‘C’.