gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT SERTAI SAMBUTAN “SAFETY DAY” BELTS 2026

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 Julai 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menyertai Sambutan “Safety Day” BELTS 2026 anjuran Brunei Engineering Logistics and Training Solutions (BELTS) yang berlangsung di Impiana Jaya Complex, Kiulap.

Penyertaan JBP dalam program tersebut merupakan salah satu usaha untuk memberikan sokongan terhadap inisiatif pihak swasta dalam memperkukuhkan budaya keselamatan, di samping meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pencegahan kebakaran, keselamatan kebakaran dan kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan.

Sepanjang sambutan berkenaan, JBP telah mengadakan pameran dan sesi perkongsian keselamatan yang memberikan penerangan mengenai aspek-aspek keselamatan kebakaran, termasuk langkah-langkah pencegahan kebakaran, penggunaan alat pemadam api dengan betul, tatacara keselamatan di dalam bangunan serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan.

Program seumpama ini juga menjadi platform bagi JBP untuk berinteraksi secara langsung dengan orang ramai, khususnya dalam menyampaikan pengetahuan dan kesedaran mengenai tanggungjawab bersama dalam memastikan keselamatan diri, keluarga, tempat kerja dan komuniti.

Melalui penyertaan tersebut, JBP berharap agar masyarakat akan terus meningkatkan tahap kesedaran dan kepekaan terhadap aspek keselamatan serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan kebakaran dalam kehidupan seharian.

Usaha ini adalah selaras dengan hasrat JBP untuk terus memperkukuhkan pendekatan pencegahan dan pendidikan keselamatan kebakaran melalui kerjasama berterusan bersama agensi kerajaan, pihak swasta, institusi serta masyarakat.