KEMALANGAN JALAN RAYA DI JALAN KANDUL
BUKIT SAWAT, Rabu, 22 Julai 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya di Jalan Kandul yang berlaku pada sebelah tengahari tadi. Seramai enam (6) orang anggota bomba yang diketuai oleh Timbalan Pegawai Balai, Mohd Said bin Abdullah, bersama dua (2) buah jentera dari Balai Bomba Sungai Liang telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) telah terlibat dalam kemalangan sendiri dan terbabas ke dalam kawasan semak. Pemandu kenderaan iaitu seorang lelaki, didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terperangkap di bawah kenderaan berkenaan.
Anggota bomba segera menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan alat khas winch daripada jentera Bomba WRL/40 untuk mengangkat kenderaan tersebut. Mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa 15 minit sebelum diserahkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, seorang penumpang lelaki berjaya keluar dengan sendirinya sebelum jentera bomba sampai. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak paramedik untuk dibawa ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jabatan Bomba dan Penyelamat menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya di laluan yang sunyi atau mencabar, serta memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik bagi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.